Archive for April 21st, 2008

PTSGraphic bersama Geng PhotoMalaysia.com di Melaka

SABTU, 29 Mac 2008 – PTSGraphic Team yang diwakili oleh Bai dan Hisham bersama beberapa orang Geng Forum PhotoMalaysia.com telah berjaya menyempurnakan hasrat hati untuk merakamkan foto keunikan Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah. Kumpulan ini menjelajah Sungai Melaka dengan menaiki bot tambang merakamkan keindahan dan keunikan yang terdapat di sepanjang Sungai Melaka hingga ke Kampung Melayu Morten iaitu sebuah kampung Melayu Tradisional Melaka. Tidak kurang hebat juga pemadangan di sekitar Jalan Hang Lekir, Jalan Hang Jebat dan Jalan Tukang Besi.

Pada mulanya Bai dan Hisham begitu ghairah mengambil gambar. Tetapi keghairahan itu bertukar menjadi malu-malu tiang apabila Geng PhotoMalaysia.com yang baru tiba lengkap dengan membawa set kamera yang lebih hebat dari mereka. Sangkaan mereka set kamera DSLR yang mereka bawa berharga RM6000 lebih itu adalah yang terbaik telah meleset sama sekali apabila terlihat rakan-rakan dari PhotoMalaysia.com memikul DSLR Nikon D3 bersama Lens 70-200mm 2.8 yang dianggarkan bernilai RM20,000. Mereka terpaksa berjalan agak jauh sedikit supaya tidak dilihat kerdil.

PTSGraphic & PTSdotTV Dapat Tempat Baru

Bukan hanya mendapat ahli baru, malah unit Grafik kini sudah berpindah ke tempat baru. Disebabkan tidak dapat mengelak dari proses pembesaran, PTS terpaksa membuat perubahan untuk menempatkan beberapa unit ke sebuah lagi pejabat yang disewa di tingkat atas. Dan ini melibatkan unit Grafik dan PTSdotTV. Pejabat baru ini dilengkapi sebuah studio untuk sesi ‘photoshoot’ dan juga studio untuk rakaman video. Studio ini dilengkapi dengan beberapa peralatan lampu dan latarbelakang yang boleh diubah suai. Beberapa penggambaran penting telah berlaku di studio ini. Di antaranya ialah, wawancara bersama penulis-penulis PTS, Resisi Selamat Pagi Malaysia bersama Tuan Syed Munawar, Short Movie ‘Opera Angkasa dan Dunia Ini Sederhana Kecil dan beberapa lagi. Terlalu banyak untuk dinyatakan di sini.

“Walaupun agak terasing, tapi kami bahagia” jelas saudara Iwan bila ditanya tentang tempat baru unit Grafik. Menurut saudara Hisham pula… “Mungkin ini cara halus untuk menjauhkan kami dari rakan-rakan lain kerana kami ni selalu buat bising. Maklumlah… namanya pun studio rakaman.” Sambung beliau sambil melemparkan pandangan jauh melalui tingkap kaca bilik Grafik. Di luar sana ada sebuah sumber mata air yang jernih, membentuk telaga kecil namun cukup dalam, dengan ikan-ikan kecil dan kerikil-kerikil berwarna putih dan merah. Oh… sungguh tenang sekali pemandangan itu…. Err… maaf, itu sedutan dari novel Syahadat Cinta yang diterbitkan oleh PTS Litera.

Saudara Rambai dan Zaidi pula sedang sibuk menghias bilik Grafik yang baru ini dengan harapan dapat membeli jiwa Bosnya.

PTS Graphic Terima Ahli Baru

Sudah hampir setengah tahun ptsgraphic tidak mengupdate blog. Selama itu juga telah banyak perkembangan dan peristiwa-peristiwa penting telah berlaku di unit Grafik mahupun PTS sendiri. Kisah sedih dan gembira dalam melayari kehidupan. Tentang manusia dan persekitaran. Ahh.. sungguh hebat gaya penulisan ini.

Tapi mari kita mulakan dengan kisah tentang kehadiran 2 orang ahli baru dalam unit Grafik. Mereka ialah saudara Zaidi dan saudara Aswadi a.k.a. Rambai @ Bai. Zaidi seorang lelaki yang pada mulanya nampak macam kudus tetapi sebenarnya tidak. Beliau sebelum ini bekerja di Hijjaz Record sebagai pereka grafik untuk kulit album. Sementara Bai pula pernah bekerja dengan beberapa syarikat penerbitan yang terkenal seperti Penerbitan Pelangi, Cerdik Publications dan Arus Intelek, walaupun beliau sendiri tiada siapa yang kenal sangat. Proses pengambilan mereka untuk menyertai PTSGraphic bukanlah semudah yang disangka. Sebelum ini ramai yang mencuba tetapi tidak berjaya. Kejayaan mereka ini mungkin disebabkan kesanggupan mereka membuat air 3 in 1 untuk orang-orang lama di sini. Tahniah.

Semoga kehadiran mereka di sini akan dapat melahirkan idea-idea yang lebih kreatif dan canggih dalam penghasilan kulit buku PTS di samping dapat memberi peluang kepada bos grafik untuk rileks dengan lebih aman.


  • Zaidi sedang berlakon menjadi rajin sementara Bai sedang berlakon jadi penat lepas buat kerja.