Syukur kehadrat Gusti Allah kerana memberi nikmat dan kesempatan serta peluang pada kami untuk terus menikmati keindahan alam maya ini. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan dan Terengganu yang maha lama lebih-lebih lagi laluan ke Kelantan yang begitu mengantukkan. Mat Jan yang sudah kekenyangan selepas makan tengahari di Kuala Krai kelihatan sungguh tidak bermaya di dalam kereta seolah-olah dialah yang membawa kereta. Padahal dia sebenarnya lebih banyak tidur dari berjaga.
Perjalanan ini juga membuka sedikit minda dan pandangan kami tentang alam, bukit-bukit, sungai-sungai, pohon-pohon yang mendamaikan dan juga tentang gadis desa yang penuh cinta. Juga tentang sakitnya kesan kenaikkan harga minyak terhadap kos perjalanan ini.
Banyak juga aktiviti yang kami lakukan. Diantaranya penggambaran video risensi buku-buku PTSOne di pantai Penarik dan pantai Marang, latihan fotografi serta mengambil gambar tatkala mentari menampakkan diri (sunrise), acara belajar berenang, melawat jeti ikan LKIM Marang serta sesi berkenalan bersama gadis-gadis tempatan. Paling tidak boleh dilepaskan ialah acara makan Keropok Lekor dan Satar. Best Gillerr.
Memang sesuai dengan laluan perjalanan yang penuh keindahan, percakapan dan perkataan yang keluar dari mulut kami juga sarat dengan bahasa melankolik yang boleh dijadikan tajuk novel seperti Laut-Laut Cinta, Pasir-Pasir Cinta, Ombak Resah, Mentari Jingga di Ufuk Horizon, Jutawan Ikan serta Rahsia Bisnes Keropok Lekor. Juga Cinta Seorang Nelayan Tua yang telah siap satu bab oleh Vovin.




















